Sunday, February 11, 2007

Anak Kebanyakan

Aku
Anak kebanyakan
Aku tiba di ini hari

Membawa ceritera untuk mu
Dari lorong memanjang dan gerhana
Supaya bangsa bisa hidup dan berkembang
Tenunglah wajah ku
Kerut-kerut pengalaman serta penderitaan
Tapi masih bersinar
Sejernih cahaya mentari
Menelan keperitan
Menjemur kehitaman.

Aku anak kebanyakan
Tidak anak bumiputra
Karena putra milik mereka
Milik darjat milik istana.
Aku anak jelata
Karena matang di bumi derita
Bertahun dulu ibu mengandung
Membawa zuriat bangsa terkandung
Ayah membanting di padang belalang
Datuk berenang di ombak bergaram
Ikan
Tanaman
Menyuburkan badan

Aku
Anak kebanyakan
Aku bernafas di zaman pancaroba
Walau pencemaran meracun rongga
Akan ku sedut
Akan ku telan
Udara sebisa ini.
Aku bebal pada kemusnahan
Sebab aku anak kebanyakan
Gugur ku tak siapa yang pedulikan

Aku
Aanak kebanyakan
Berikan aku sewaktu lagi
Ingin ku perturunkan dongeng keturunan
Di masa silam dan esok mendatang
Anak kebanyakan
Di merata rata
Menelan umur
Meretak tulang
Bakal menjadi rakyat kebanyakan
Banyak pada bilangan
Segelintir pada pemilikan

Anak kebanyakan
Cukup sekadar tahu berladang
Bukan pesan nenek dan moyang
Tapi tekanan zaman penjajahan

Anak kebanyakan
Masih menanti
Masih mencari
Panggilan alam
Penawar di kala kesusahan

Anak kebanyakan
Akan di sini lagi
Hari ini
Esok hari
Sebab kebanyakan menanda kebiasaaan

Aku
Anak kebanyakan
Akan berceritera lagi
Pada anak-anak dan cucu-cucu ku
Supaya kau tahu jadah alam
Airmata dan peluh moyang
Pasti membawa wasiat perjuangan

Aku
Anak kebanyakan
Mesti ke depan
Sudah cukup dilupakan
Sudah lama ditindaskan
Konon menjunjung titah kesentosaan

Aku
Anak kebanyakan
Tak bisa disekatkan
Sehingga kebanyakan memnguasai corak pengetahuan


Manan Wan
4 November 1979

KOD ETIKA AHLI AKADEMIK*

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) 1997


Mukaddimah

MENYEDARI PERI pentingnya tatalaku para ahli akademik dalam menjalankan tugas dan meningkatkan keprofesionalan kerjaya mereka, maka Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) ingin menegaskan bahawa segala perilaku dan tindak tanduk seseorang ahli akademik itu bakal menentukan integriti dan imej profesion mereka pada mata masyarakat
Setelah mengambil kira pelbagai isu yang dihadapi oleh golongan ahli akademik sejak kebelakangan ini bersabit dengan kerja-kerja pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan, dan berbagai-bagai aktiviti yang berkait dengan pengembangan serta penyebaran ilmu maka adalah wajar satu kod yang dapat dijadikan bahan panduan dan penilaian terhadap perilaku mereka digubalkan.
Menginsafi akan cabaran masa kini yang semakin mendesak dari segi kewibawaan seseorang pensyarah, penyelidik, pengurus, pelajar dan golongan profesional lain dalam menangani golongan terdidik dan berbudaya maka sifat-sifat yang cemerlang perlulah diamalkan demi meningkatkan kepercayaan masyarakat, majikan dan rakan sebaya.
Mempercayai bahawa sebuah kod etika penting untuk meningkatkan penghayatan nilai murni seseorang dari segi menegakkan kebenaran, kebebasan, keadilan, keikhlasan, kejujuran dan amanah, justeru itu GERAK bersetuju dengan ikrar berikut:


Artikel 1 - Tujuan Kod

Tujuan kod ini adalah untuk menyediakan.sebuah panduan umum dan memupuk suatu suasana yang positif dari segi kerja-kerja pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan, penyebaran ilmu dan hubungan yang lebih bersifat profesional serta bertanggungjawah di kalangan para ahli akademik.


Artikel 2 - Ruang Lingkup Kod

Kod ini meliputi rangka tugas untuk para ahli akademik yang sedang bekerja di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institut penyelidikan, persatuan profesional, pihak swasta, karyawan individu atau pelajar yang mengakui diri mereka sebagai pendokong kerja-kerja penyelidikan, penerbitan, pengajaran, perundingan dan karyawan. Di samping itu hasil tugasan mereka akan dinilai oleh rakan sebaya ataupun masyarakat umum.


Artikel 3 - Takrifan untuk Tujuan Kod Ini

Ahli akademik bermaksud seseorang yang mempunyai kelayakan dan pengkhususan latihan dalam disiplin akademik yang pelbagai atau lain-lain disiplin yang boleh dianggap merangkumi bidang akademik. Ia merangkumi juga kakitangan akademik yang bekerja sebagai tenaga pengajar di peringkat universiti, institut, maktab atau pakar bebas yang menjalankan kerja-kerja pengajaran dan penyeliaan baik di universiti/kolej milik kerajaan ataupun swasta.
Plagiarisma bermaksud menggunakan data atau idea penyelidik/ orang lain tanpa merujuk kepada sumber yang diperoleh. Ia juga termasuk penyalinan verbatim sesebuah teks yang ditulis oleh orang lain. Terdapat juga mereka yang mencuri data/idea dari kertas cadangan permohonan geran orang lain ataupun dari manuskrip yang diserahkan untuk penilaian atau penerbitan.
Forgeri bermaksud membentangkan atau menerbitkan hasil kajian yang sebenarnya tidak pemah dilaksanakan atau menipu tentang data yang kononnya dikumpulkan.
Merapikan data (data trimming) bermaksud memanipulasi data atau hasil kajian supaya ia kelihatan sempuma dan boleh diterima sebagai otentik. Kes begini juga disebut sebagai 'massaging data' atau 'fudging the data'.


Artikel 4 - Tugas dan Kerjaya

1. Ahli akademik/pensyarah perlulah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, profesional dan berintegriti. Mereka juga perlu berusaha untuk meningkatkan mutu keprofesionalan bidang pengkhususan mereka serta menampilkan imej yang cemerlang. Mereka hendaklah sentiasa peka kepada perkembangan semasa dalam disiplin yang dipeloporinya, mengadakan penemuan-penemuan baru dan juga mampu berinteraksi dengan golongan profesional lain atau masyarakat umum dengan semangat saling menghormati dan bekerjasama.


2 Apabila berurusan dengan pelajar atau orang ramai, ahli akademik perlu menghormati kebebasan dan pendapat mereka walaupun bertentangan dengan pendirian sendiri. Ahli akademik perlu mengelakkan diri daripada tindakan terburu-buru atau tingkah laku yang boleh mencemarkan peribadi sendiri atau profesionnya, melanggar tatalaku moral yang baik, mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam serta hal-hal yang berlawanan dengan kepentingan umum.

3. Ahli akademik perlu iltizam dan berusaha menegakkan nilai-nilai sejagat seperti penghayatan kebebasan, demokrasi, kebenaran, keadilan dan cintakan tanahairnya. Mereka hendaklah menjadi warga contoh dalam menampilkan moral yang tinggi, menghargai keadilan sosial, mengamalkan kejujuran dan sentiasa berani menyuarakan pendapat dengan ikhlas.
4. Ahli akademik akan menyumbangkan khidmat bakti mereka dalam mengajar, melatih, menyelia para pelajar yang di bawah penyeliaannya dengan penuh minat dan sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada mereka yang memerlukan khidmat
5. Ahli akademik perlu akur kepada etika profesional dan sentiasa berusaha menyumbangkan tenaga dan pendapat ke arah membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan berperikemanusiaan.


Artikel 5 - Tanggungjawab Ahli Akademik

1 Mereka bertanggungjawab kepada masyarakat pelajar dan disiplin yang mereka khususi. Mereka perlu menggunakan kepakaran mereka untuk meningkatkan kehidupan umat manusia dan alam sekitar secara berterusan. Dalam hal ini mereka juga berfungsi sebagai pengkritik sosial.
2. Mereka perlu menegakkan nilai-nilai yang. baik dalam masyarakat dan menyumbangkan kepada pembangunan kemajuan dan keamanan negara. Dalam hal ini mereka hendaklah mengelakkan diri daripada terbabit dalam aktiviti-aktiviti berlawanan dengan kebaikan dan kepentingan umum.
2. Dalam suasana di mana golongan kurang bernasib baik sentiasa diketepikan dan dinafikan hak, mereka mempunyai hak, mereka mempunyai tanggungjawab penting untuk membela golongan yang daif dan tidak berdaya Dalam hal. ini mereka merupakan advokat kepentingan golongan, yang kurang bernasib baik. dan membantu meningkatkan kehidupan golongan ini.


4. Mereka perlu menegakkan kebenaran pada. setiap waktu. dan tempat. Mereka tidak boleh berkompromi dan mencemarkan profesionnya dengan memanipulasikan kebenaran untuk kepentingan-kepentingan tertentu.
5. Mereka perlu menegakkan kejujuran intelektual. Mereka tidak boleh membuat pengakuan untuk mendapat nama atau ganjaran hasil dari data, ilmu atau inovasi yang diusahakan oleh orang lain.
6. Mereka bertanggungjawab terhadap integriti penyelidikan yang mereka lakukan. Mereka perlu memastikan bahawa norma-norma kerja kesarjanaan yang baik dipatuhi dalam menghasilkan kajian atau karya mereka.
7. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengambil pendirian dalam perdebatan mengenai isu-isu yang mana mereka mempunyai kepakaran atau pengalaman yang mencukupi. Dengan cara ini, mereka memperjelaskan isu-isu saintifik dan sosial menerusi bantuan ilmu dan pendekatan ilmiah.


Artikel 6 - Bidang-bidang Keprihatinan Profesion dan Individu

Ahli akademik beriltizam untuk mengembangkan bidang kepakaran mereka, menggalakkan kesejahteraan sosial dan juga meningkatkan kebolehan dan kepakaran profesional diri sendiri.

1. Perkembangan Profesional

(a) Ahli akademik akan mengukuhkan kedudukan disiplin mereka menerusi interaksi saintifik, profesional dan intelektual di kalangan rakan sebaya, badan dan persatuan profesional serta juga institusi yang mempunyai kepentingan bersama.
(b) Mereka akan mempromosikan hak, kebajikan dan pengembangan pengetahuan dengan menyumbangkan ke arah dinamisma dan kemajuan profesion mereka. Ini termasuklah di bidang pendidikan, sains dan teknologi; meningkatkan dan mengukuhkan kemampuan universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi dalam menghadapi cabaran baru.
(c) Mereka perlu menilai secara kritis dan juga menafsirkan pelbagai orientasi falsafah dan dasar demi membuka minda kepada model-model atau alternatif-alternatif baru. Hal ini termasuklah mempribumikan teori-teori atau alternatif yang bersesuaian dengan pembentukan tradisi intelektual dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat tempatan.


2. Penyelidikan

(a) Mereka perlu menghayati penyelidikan-penyelidikan yang dapat memberi sumbangan dan pemahaman baru dengan mengamalkan berbagai-bagai kaedah kajian. Penyelidikan antara disiplin yang bersikap lebih luwes perlu digalakkan dan pada masa yang sama pengukuhan ilmu teras dapat dimanfaatkan.
(b) Dalam menjalani dan melaporkan hasil penyelidikan, mereka perlulah jujur dan tidak mengamalkan penipuan seperti forgeri dan merapikan data demi kepentingan diri, kenaikan pangkat atau motif-motif yang bertentangan dengan semangat penyelidikan. Kesemua ini adalah untuk mencari kebenaran dan menerima fakta sebenar walaupun berlawanan dengan hipotesis yang dimulakan. Para penyelidik harus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang mengecewakan dari segi keputusan di luar jangkaan ramalan dan perlu. menerima kenyataan tersebut secara rasional tanpa memalsukan data atau maklumat.
(c) Mereka perlu menyatakan nama yayasan atau badan yang membiayai penyelidikan mereka dan tidak harus terpengaruh atau takut untuk melaporkan hasil kajian secara objektif.


3. Penerbitan

(a) Mereka perlu memberi penghargaan kepada semua individu yang telah menyumbangkan berbagai bantuan, buah fikiran atau penulisan dengan menyatakan secara jelas tentang sumbangan individu-individu tersebut.
(b) Mereka perlu menulis secara objektif tentang sesuatu laporan; ulasan atau hasil kajian walaupun ia bertentangan dengan pemihakan diri, orientasi ideologi; anutan agama ataupun etnisiti diri.
(c) Mereka perlu mengelakkan diri dari mencuba atau mengamalkan plagiarisma dalam hasil penerbitan.
(d) Mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan mutu penerbitan yang dihasilkan sejajar dengan peningkatan integriti dan imej profesion yang dipelopori.
(e) Mereka yang melakukan plagiarisma dengan tidak sengaja perlu memperbetulkan kesilapan mereka seberapa segera menerusi tulisan, permohonan maaf dan memasukkan penghargaan atau hasil rujukan yang sewajarnya kepada pihak penerbit jika ia merupakan buku atau kepada penyunting buku jika ia merupakan buku suntingan atau sidang editor jurnal, jika ia merupakan penerbitan berbentuk jurnal atau badan pembiaya jika ia merupakan laporan penyelidikan yang dibiayai.


(f) Mereka yang dibuktikan melakukan plagiarisma perlu didedahkan dan diadili secara wajar dan objektif oleh pihak-pihak yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan. Jika perlu sebuah jawatankuasa bebas perlu diwujudkan bagi menangani masalah ini.


4. Hubungan dengan Pelajar/Klien

Mereka perlu mewujudkan hubungan yang profesional dan bermoral apabila ditugaskan untuk mengajar atau menjadi pakar runding. Mereka tidak harus mengambil kesempatan atau bertindak tidak wajar dengan mengenakan bayaran yang tidak berpatutan ke atas klien. Dalam hubungan dengan pelajar mereka harus bersifat sedia membantu dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dari kelemahan pelajar.


Artikel 7 - Upah dan Ganjaran

Dalam urusan kerja yang. menyediakan upah (tidak termasuk gaji tetap) mereka perlulah jujur dalam mengenakan bayaran upah perundingan. Jumlah masa yang diluangkan untuk tugas tertentu haruslah berpadanan dengan upah yang diterima berdasarkan amalan 'standard' yang dibayarkan kepada pakar-pakar yang setaraf dengannya.


Artikel 8 - Sekatan

1. Ahli akademik yang didapati melanggar kod etika profesion mereka atau melakukan tindakan yang mencemarkan integriti dan imej profesion perlu diperingatkan dan diadili oleh rakan sebaya, majikan dan badan yang mempunyai kepakaran untuk membuat penyiasatan dan penilaian.
2. Setiap ahli yang tertuduh perlu diberi peluang untuk membela diri, menerangkan sebab-sebab dan alasan-alasan yang munasabah. Beliau perlulah diberi penilaian yang seadil-adilnya untuk mengelakkan sebarang tindakan bersifat menganiaya dan menindas.
3. Ahli akademik perlu mengelakkan diri daripada menjatuhkan nama baik individu dan profesion mereka menerusi kenyataan akhbar yang bersifat sensasional dan tidak objektif.


* Kod Etika ini disesuaikan dari Kod Etika Ahli Sains Sosial yang digubal oleh Sdr Wan Manan

Friday, January 26, 2007

UNIVERSITI BERTARAF DUNIA DI MALAYSIA?

UNIVERSITI BERTARAF DUNIA DI MALAYSIA?

Wan Abdul Manan Wan Muda
Presiden PKAPUSM

Secara tradisi universiti adalah sebuah institusi untuk pendidikan tinggi yang merupakan sanktuari untuk pengajaran dan pembelajaran, dan itulah fungsi utamanya. Justeru sebuah universiti akan mewujudkan suasana yang menggalakkan perkembangan intelek, cintakan ilmu, kebebasan bersuara dan meningkatkan pengumpulan ilmu menerusi pengalaman dan wacana. Namun universiti zaman kontemporari ini sudah banyak mengalami transformasi, berbanding universiti tradisional yang sering menjadi sebuah nostalgia para penulis terdahulu tentang keunikan menara gading yang kini mustahil bakal berulang. Universiti moden berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu semasa dan tidak lagi merupakan sanktuari para sarjana dan pendita. Universiti kini sudah menyerupai sebuah pasar terbuka untuk pertembongan pelbagai ide, pusat penyelidikan, pusat sukan, tempat mahasiswa menyuarakan ketidakpuasan dengan pemerintah, dan pelbagai lagi aktiviti yang tidak pernah diduga oleh para pelopor zaman lampau.

Peranan universiti terus diperdebatkan oleh perlbagai pihak sehingga kini, namun apa yang nyata kini ialah peranan universiti telah berubah dan lebih mirip dengan gagasan yang diutarakan oleh Clark Kerr pada tahun 1960an dulu, ia itu konsep “multiversity”. Menurut Clark Kerr, sebuah multiversiti merupakan institusi yang peka kepada perubahan semasa, keperluan masyarakat, permintaan awam, dan secara ringkas ia tak ubah seperti sebuah pusat perkhidmatan (service station). Universiti sebagai “service station” ini juga telah menular ke dalam kampus-kampus universiti awam tempatan , terutama sekali apabila semakin banyak universiti didirikan dan semakin banyak kursus dan perkhidmatan yang disediakan. Maka tidak menghairankanlah jika kita dapati di sesetengah kampus aktiviti seperti, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, kadangkala terpaksa dikorbankan untuk memenuhi tuntutan lain yang lebih segera dan semasa pada pandangan golongan yang berpengaruh dalam universiti.

Kebocoran globalizasi kini telah menelanjangkan universiti kontemporari untuk bertanding dalam suasana terbuka dari segi sumber, kemasukan pelajar dan pembiayaan. Universiti terpaksa berlumba di medan yang lebih luas, justeru harus mengembeleng kebolehan untuk berada di barisan hadapan dan sentiasa bersifat kompetitif dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, pengajaran, perkhidmatan, memiliki kecemerlangan akademik dan membina reputasi di peringkat tempatan dan antarabangsa. Maka wujudlah fenomena baru – university ranking – yang mana universiti dinilai dan diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan, dan pada tahap mana mereka berada dalam senarai panjang yang terdiri daripada puluhan ribu universiti di dunia.
Universiti seterusnya akan dilabelkan sebagai universiti golongan “world class” jika mereka telah mencapai tahap kecemerlangan dan memenuhi fungsi mereka berdasarkan indikator prestasi yang telah ditentukan.

Apa itu “World Class University”? Tidak terdapat satu jawapan yang tepat kepada soalan ini, namun, seseorang ahli akademik atau mahasiswa itu bakal tahu apabila mereka menjejak kaki kedalam sesebuah kampus universiti bertaraf dunia. Para mahasiswa yang anda temui, professor yang anda berbicara dengannya, kemudahan yang ada, dan lingkungan sekeliling anda bakal memberi gambaran kepada anda yang anda kini berada dalam sebuah kampus yang bertaraf dunia.

Jika kita terima konsep “world class universities” dan ingin menerimapakai penilaian yang dibuat di peringkat global, maka kita tidak boleh lagi seronok sendiri dan membuat “self proclamation” yang kerap kali melucukan.

Untuk membina sebuah universiti bertaraf dunia memerlukan bukan sekadar infrastruktur fizikal dan bilangan pelajar yang puluhan ribu, tetapi ia lebih tertumpu kepada interaksi antara hubungan jaringan dalaman dan jaringan luar kampus.
Pada pandangan saya terdapat tiga bidang utama yang perlu dibangunkan atau diperkemaskan segera untuk menuju kepada universiti bertaraf dunia, iaitu, penyelidikan, kebebasan akademik dan kepimpinan akademik.

Penyelidikan
Aktiviti dan hasil penyelidikan merupakan produk yang sangat penting bagi sesebuah universiti. Manfaat segera atau jangka panjang penyelidikan berbeza dan bergantung kepada bidang kajian tertentu. Lazimnya hasil penyelidikan diterbitkan dalam pelbagai jurnal dalam bidang masing-masing yang dinilai oleh para pakar dalam bidang tersebut. Dalam konteks ini penyelidikan menyumbang kepada pembinaan ilmu. Pada masa kini terdapat dua tumpuan utama dalam penyelidikan di universiti tempatan ia fenomena yang disebut sebagai penyelidikan berorientasikan penerbitan (publication-oriented research) dan satu lagi fenomena yang lebih berorientasikan hasil (product-oriented research) yang boleh menjana pendapatan kepada universiti dan individu jika produk tersebut dapat dipaten dan dipasarkan. Namun begitu penyelidikan tidaklah harus terhenti diperingkat menerbitkan artikel dalam jurnal semata atau untuk menghasilkan produk kesemuanya seperti bias yang terdapat dalam pemberian geran-geran IRPA, ia perlulah mencakar bidang yang lebih luas termasuk mempengaruhi atau menyumbang kepada penggubalan dasar dalam sesebuah negara.

Seringkali dominasi penyelidikan dalam sesebuah universiti boleh membelakangkan tugas pengajaran, secara ideal penyelidikan dan pengajaran harus saling membantu, antara sifat universiti bertaraf dunia ialah kemampuan mereka mencapai keseimbangan antara pengajaran dan penyelidikan.

Pada masa ini secara umum kita masih jauh ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan, dan kita perlu kerja lebih tekun sebab kita masih di kaki gunung untuk mendaki ke puncak. Kita masih terbelakang dalam banyak bidang, namun begitu, terdapat juga beberapa disiplin yang mana kita sudah setaraf dengan penyelidik utama di peringkat dunia, terutama dalam bidanga sains sosial dan kemanusiaan.

Kebebasan Akademik
Adalah tidak memesongkan jika kita katakan bahawa otonomi universiti merupakan keperluan utama untuk menjadi universiti bertaraf dunia. Otonomi universiti di sini dimaksudkan kepada kebebasan universiti dari campurtangan kerajaan dan lain-lain kumpulan dalam negara dalam usaha universiti membuat keputusan berkait dengan pengurusan dalaman, kewangan, pentadbiran dan menggubalkan dasar pendidikan, penyelidikan, kerja-kerja perkembangan dan lain aktiviti berkaitan. Sejarah telah membuktikan bahawa universiti yang mampu mempertahankan otonomi mereka dari sejak zaman midieval lagi merupakan universiti yang terkedepan dalam bidang penyelidikan dan pengajaran dalam masyarakat mereka. Justeru otonomi akan menggalakkan kebebasan akademik dan dinamisme intelektual yang merupakan ciri utama universiti bertaraf dunia. Kebebasan akademik merupakan nurani sesebuah universiti, ia menyentuh hak dan tanggung jawab para mahasiswa dan pensyarah, ia bakal mewarnai pengajaran dan kesarjanaan. Maka kebebasan akademik tidak boleh dijadikan hanya sebagai sebuah slogan yang enak didengar seperti yang disuarakan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dalam universiti; awas, mereka boleh memesongkan kita. Kebebasan akademik adalah prinsip dan panduan kepada kita dan perlu dikembangkan dan dipertahankan pada setiap masa, terutama pada waktu-waktu kegawatan.

Seringkali kebebasan akademik dimanipulasi oleh golongan berkepentingan dan berlawanan sekali dengan semangat kebebasan akademik yang diutarakan oleh UNESCO atau Deklarasi Lima. Usah terkejut jika anda berhadapan dengan mereka yang beranggapan bahawa kebebasan akademik adalah kebebasan mereka untuk melakukan apa saja dalam universiti tanpa mengambilkira soal tanggung jawab dan akauntibiliti. Dan kita juga tidak kurang bilangan naib canselor atau rector yang mengatakan mereka berada di pihak kebebasan akademik tapi bertindak sebaliknya, malah ada negara yang mana menteri yang berikrar untuk mempertahankan kebebasan akademik sebagai janji politik untuk mendapat populariti dan sokongan golongan para akademik dan mahasiswa.

Dalam masyarakat sivil dan universiti bertaraf dunia para akademik boleh berpartisipasi sebagai warganegara bebas dalam ruang awam atau sebagai pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi pandangan dan komentar. Tetapi dalam negara yang wujud pelbagai sekatan dan peraturan, peranan ahli akademik dipantau dan ditapis dan adakalanya dibungkamkan mereka daripada menyuarakan sebarang keprihatinan yang dianggap bertentangan dengan dasar universiti atau pemerintah. Tambahan lagi mereka yang dilantik menakhodai universiti sebilangan besarnya terdiri dari golongan yang menganuti ideologi sepunya atau penjawat awam yang patuh kepada pihak berkuasa.

Sehingga kebebasan akademik mendapat tempat yang sewajarnya dalam universiti, sumbangan yang bermakna ke arah meningkatkan mutu institusi secara menyeluruh ke peringkat kecemerlangan tidak mungkin tercapai, dan hanya menjadi angan-angan atau mimpi di siang hari para pemahsyurnya sahaja. Menurut Casper, Presiden Stanford University, kenapa Stanford bisa menjadi universiti bertaraf dunia dalam masa yang singkat ialah kerana Stanford University menghargai kebebasan akademik sebagai jiwa universiti tersebut.

Dari segi prognosis tentang keadaan di Malaysia, kebebasan akademik berada pada tahap yang tenat, oleh itu kita perlu perlu memperjuangkannya sehingga sampai sekurang-kurangnya ke tahap minimum yang dikecapi oleh universiti-universiti bertaraf dunia.

Kepimpinan Akademik
Salah satu ciri utama universiti bertaraf dunia ialah “self-governance”, yang mana tadbir-urus dalaman universiti yang memastikan komuniti akademik mempunyai kuasa mengawal fungsi akademik yang utama seperti, kemasukan pelajar, kurikulum, kriteria untuk graduasi, pemilihan pensyarah baru atau kakitangan baru, dan juga halatuju masa depan universiti tersebut. Universiti bukanlah jabatan kerajaan dan bukan juga agensi perniagaan; di jabatan kerajaan semua bahagian berkait yang membina sebuah jaringan atau jika di bidang perrniagaan pula semua bahagian bergantung kepada satu sama lain dan disusun-atur untuk mencapai matlamat utamanya ia itu mencari keuntungan. Tetapi universiti terdiri daripada jabatan atau fakulti yang mempunyai hubungan longgar antara satu sama lain dan mewakili pelbagai disiplin yang berbeza, yang adakalanya berkaitan tetapi bebas antara satu sama lain.

Sebuah universiuti bertaraf dunia memerlukan kepimpinan yang demokratik yang mampu memenuhi dan menampung keperluan pelbagai disiplin dan menyelaraskannya dalam bentuk yang dapat mencapai misi universiti yang telah dipersetujui bersama. Keputusan yang melibatkan hal ehwal akademik mestilah dibuat oleh kakitangan akademik atau badan yang mewakili mereka seperti senat, majlis akademik atau persatuan akademik; manakala keputusan yang melibatkan hal ehwal mahasiswa mestilah diwakili mahasiswa atau persatuan-persatuan mahasiswa. Perlu diingat juga bahawa badan akademik dan badan mahasiswa merupakan komponen-komponen utama yang membina sesebuah universiti, mereka bukanlah kelompok bawahan kepada pentadbir akademik (naib canselor, rector, timbalan naib canselor, dekan,pengerusi rancangan atau ketua jabatan). Anggapan yang salah yang diutarakan oleh ramai para pentadbir akademik yang merasakan universiti adalah milik mereka perlu dicabar dan dikuburkan. Kakitangan akademik dan para profesor bukanlah pekerja, mereka adalah sebahagian daripada universiti, adalah tidak masuk akal untuk memikirkan sebuah universiti tanpa kakitangan akademik atau profesor.

Kecemerlangan akademik banyak sekali bergantung kepada kepimpinan akademik dan siapakah individu-individu yang dilantik dalam strata atasan universiti. Jabatan atau bahagian merupakan unit asas kepada universiti, jadi sangatlah penting untuk menentukan kecemerlangan dan piawaian akademik di peringkat ini. Untuk menjadi jabatan yang bertaraf dunia piawaian yang tinggi perlu ditentukan dan diterima-pakai sekaligus penarafan yang memenuhi norma-norma jabatan terbaik dalam disiplin tersebut di peringkat anatrabangsa. Justeru perlantikan ketua jabatan atau pengerusi, perlulah daripada kalangan mereka yang mempunyai wawasan, iltizam dan kepemimpinan untuk melonjakkan jabatan mereka ke tahap kecermelangan peringkat antarabangsa. Ketua-ketua ini bakal menjadi penjaga pintu gerbang akademik yang akan membantu menyuburkan budaya kecemerlangan dan pada masa yang sama meningkatkan taraf kecemerlangan unit asas di peringkat lantai ini.

Sebaliknya, seperti lazim berlaku atau pernah kita lihat dan alami, melantik seorang yang medioker atau mudah berpuas hati dengan keadaan sedia ada, bukan sahaja bakal membiakkan budaya mediokriti, tetapi beliau akan merasa tergugat oleh kehadiran rakan-rakan akademik yang mempunyai kelulusan akademik dan jayadiri yang cemerlang. Ketua-ketua medioker ini akan cuba mengelakkan daripada menyokong atau membantu golongan yang berkaliber ini, malah mereka akan terus merekrutkan golongan akademik yang mempunyai kelulusan dan kebolehan yang medioker. Akhirnya kita akan terus berada dalam situasi yang mana mediokrasi membiakkan mediokriti dan lambat laung akan wujud kelestarian kitaran yang kelihatan mustahil untuk diperbaiki lagi.
Senario yang sama boleh digunakan diperingkat pusat pengajian atau fakulti, yang mana perlantikan dekan akan menentukan halatuju fakulti tersebut sama ada akan mendaki tangga ke arah fakulti bertaraf dunia atau menuruni longkang kelimpahan mediokriti. Pada peringkat kampus, perlantikan naib canselor atau rector adalah sangat penting untuk mencapai kecemerlangan akademik atau menjejak langkah kearah universiti bertaraf dunia. Di Malaysia, pada peringkat kampus, realiti semasa adalah berdasarkan kepada prinsip “kecemerlangan membiakkan kecemerlangan, dan mediokriti membiakkan mediokriti”, dan keadaan ini bagaikan sudah diacuanbesikan. Para naib canselor dan rector yang kebetulan memang merupakan golongan pentadbir akademik yang mediokratik sudah tentu akan merasa tergugat oleh para dekan atau ketua jabatan atau professor yang berfikiran terbuka, pintar, berdedikasi dan berkaliber. Maka sering kali usaha untuk mempromosikan kecemerlangan akademik dalam sesebuah universiti akan terbantut, terhalang, atau digagalkan oleh naib canselor yang mediokratik yang mendokong dasar yang bertentangan dengan kecemerlangan akademik.

Prognosis kepemimpinan akademik di Malaysia kini menunjukkan suasana yang sakit dan mundur. Pada masa ini kita belum lagi dapat menonjolkan seorang pemimpin yang berkaliber tinggi, berkelulusan cemerlang dan pencari kebenaran yang menerajui universiti awam di Malaysia yang mempunyai potensi untuk menakhodai universiti ke persada universti bertaraf dunia. Kita mungkin ada seorang dua naib canselor yang mempunyai semangat kompetitif dan memiliki sikap yang diperlukan, tetapi pada umumnya universiti tempatan mengalami kegersangan pemimpin dan pemikir cemerlang yang sanggup menganjakkan paradigma dan mencabar status quo. Lebih menyedihkan terdapat pimpinan universiti yang membiarkan universiti mereka diperlekehkan oleh ahli-ahli politik atau orang awam yang bebal tentang peranan universiti.

Kesimpulan
Saya telah membicarakan dengan ringkas tiga bidang yang dirasakan perlu diberi perhatian segera jika kita ingin menuju keaarah universit bertaraf dunia. Walaupun prognosis saya secara umumnya tidak memberangsangkan, tetapi jika kita mempunyai keberanian dan dapat menerobosi halangan-halangan yang disebutkanh di atas, kita mungkin mampu menjadikan aspirasi kita sebagai kenyataan – universiti bertaraf dunia di Malaysia. Kita perlu mampu berfikir disebaliknya dan mencabar pemikiran tidak saintifik dan kaku, sebab berfikir adalah satu-satunya kemampuan yang dimiliki oleh manusia.
.

A Brief Biodata

Wan Abdul Manan bin Wan Muda was born in Kuala Terengganu in1953. He had his primary education in Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang dan Sekolah Pusat Bukit Besar and his secondary education till form five in Sekolah Tengku Bariah, Kuala Terengganu. He later went to sixth form for his Higher School Certificate in Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak. In 1974 Wan Manan further his study in Macalester College, St. Paul, Minnesota, United States, and obtained his baccalaureate degree in nutrition and dietetics in 1977. He went for graduate studies in Clinical Nutrition in Rush Universty, Chicago, Illinois and received his Master of Science degree in 1979. He then worked as a dietitian at the Rush-Prebysterian-St.Luke Medical Center , Chicago for a short period before embarking to New York City in December 1979 where he enrolled in Columbia University. In Columbia University, Wan Manan received a master degree in Community Nutrition and Nutrition Education in 1981 and completed his doctoral degree in Nutrition and Public Health in 1983. Wan Manan continued to conduct post-doctoral research with the WIC (Women, Infant and Children) Program and the Mississippi Board of Health until the middle of 1984. He also has a postgraduate certificate in Global Nutrition from Uppsala University in 2002.

Wan Manan became a member of Universiti Sains Malaysia in 1979 when he was offered the Academic Staff Training Scheme after he received his M.Sc. He started work as a fulltime lecturer in July 1984 with the School of Medical Sciences until 2000 when he moved to start the School of Health Sciences and at the same time helped to establish the Dietetic Program.
He was appointed as an Associate Professor in 1994.

Wan Manan taught courses in nutrition, public health, epidemiology dan community studies, while his research expertise and interest covered human nutrition, malnutrition, obesity, public health, quality of life and issues on higher education. He has supervised and graduated many postgraduate students in the past years in the field of nutrition and public health. Apart from teaching and research, Wan Manan is also actively involved in professional societies and non-governmental organizations. Currently he is the Chairman of the Malaysian Academic Movement (MOVE) and the President of the Unversiti Sains Malaysia Academic and Administrative Staff Association (PKAPUSM).

Wan Manan has received various award for his work which include, the National Science Research and Advancement (MPKSN) Grant Award in 1985, Asia Leadership Fellow Award from the International House of Japan and the Japan Foundation, Tokyo in 1996, accredited as an anthropometrist at the level of Instructor by the International Society for the Advancement of Kinanthropometry (ISAK) in 2001, appointed as Fellow of the Nutrition Society of Malaysia in 2002, awarded as a fellow of the Global Nutrition Program, Uppsala University, Sweden in 2002, and awarded as a Senior Fellow of the Asian Public Intellectual Fellowship by the Nippon Foundation for 2004-2005.

Wan Manan was appointed as a Professor of Nutrition and Public Health by the Universiti Sains Malaysia in 2003.